CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

20 Jun 2009

Melatah dan Tergadah Agar Tidak Membawa Padah

Penulis bukanlah pakar dalam bidang politik ataupun stategik kenegaraan. Tapi penulis rasa tertarik untuk memberi respon terhadap isu yang hangat diperkata dan diperdebatkan dalam ruangan maya dan media kini. Rasa keliru terhadap respon dan pandangan yang diberikan oleh para pemimpin terhadap isu ini membuatkan penulis terfikir panjang jalan penyelesaian isu ini.

Isu yang di'idea'kan oleh DS. Tn. Guru Hj. Abd. Hadi Hj. Awang, Presiden Pas selepas muktamar berlabuh tirai. Hal ini tidak disuarakan oleh Tuan Guru dalam sidang muktamar. Ianya berbangkit setelah Tuan Guru menjawab soalan yang ditanya oleh wartawan tentang kerajaan perpaduan. Namun Tuan Guru hanya menjawab yang Pas sentiasa bersifat terbuka dan berbincang dalam segala isu tidak kira parti atau badan. Namun ia telah diputar belit oleh media arus perdana dan mendapat respon yang berbeza dalam kalangan pemimpin politik dan NGO.

Namun tidak sepertimana biasa, idea ini ditentang hebat oleh pemimpin Pas sendiri terutamanya Mursyidul Am Pas Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Penulis cukup terkejuk dengan serangan terbuka yang dilakukan oleh Tok Guru terhadap Tuan Guru Presiden, Timbalan dan S/U Agung Pas sehinggakan menyuruh untuk meletak jawatan. Penulis merasakan ini bukan satu contoh yang baik yang dilakukan oleh seorang ulama' yang paling dihormati tidak kira Pakatan Rakyat atau Kerajaan. Rasa hormat penulis terhadap kredibiliti tok guru sedikit menurun atas tindakan melulu itu. Tindakan ini juga akan mengurangkan sokongan golongan muda terhadap Pas.

Tuan Guru Presiden masih tidak memberi apa-apa penjelasan terhadap isu ini kerana masih berada diluar negara. Langsung tidak sabar untuk menunggu penjelasan membuatkan ramai yang membuat tafsiran sendiri dan bantahan yang bertalu-talu terhadap Tuan Guru dan pemimpin yang bersetuju dengan cadangan tersebut.

Betul apa yang diandaikan oleh Tuan Guru bahawa beliau akan berhadapan dengan kecaman yang kuat dari sahabatnya sendiri dek kerana tidak faham dengan konsep tersebut. Namun akhirnya dengan pertolongan Allah, masyarakat akan faham apa yang dihasratkan oleh beliau.

Teringat dengan peristiwa perjanjian Hudaibiyah yang diketuai oleh Rasulullah sendiri di Madinah. Pada awalnya ramai pemimpin Islam tidak bersetuju dengan cadangan Rasulullah dan mengatakan bahawa ia akan merugikan Islam. Antara isi perjanjian tersebut ialah genjatan senjata antara orang Islam dengan kafir Quraisy dan beberapa isi perjanjian lain yang berpihak kepada kafir Quraisy. Setelah mendengar penjelasan dari Rasulullah sendiri, barulah para sahabat dapat memahami bahawa perjanjian tersebut banyak memperolehi kebaikkan terhadap Islam antaranya orang Islam boleh melawat keluarga di Makkah dan melakukan Umrah dengan aman tanpa gangguan. Ini untuk menunjukkan bahawa Islam sentiasa terbuka walaupun dengan bukan Islam. Namun akhirnya arab Quraisy telah melanggar perjanjian yang termenterai dengan kerajaan Islam itu dan menyebabkan kerugian terhadap arab Quraisy.

Inilah percaturan politik yang bijaksana telah dimainkan oleh Rasulullah. Dan penulis melihat ia cuba dicontohi oleh Tuan Guru Presiden apa yang telah berlaku dalam sejarah Islam. Dengan syarat-syarat yang ditetapkan seperti Kabinet penting dalam pentadbiran dipegang oleh Pas dan Pakatan Rakyat.

Namun pemahaman yang mendalam akan diperolehi setelah semua pemimpin bersabar, berfikiran terbuka dan ikhlas mendengar penjelasan bukan dengan emosi dan tidak menerima pandangan orang lain. Memang sukar untuk dilaksanakan perkara yang besar itu kerana perlu kepada perancangan dan strategi yang mantap dalan kalangan barisan pemimpin.

Penulis mendoakan agar Pemimpin Pas dan PR agar berlapang dada kerana setiap perancangan yang dilakukan demi meletakkan Islam di tempat yang tinggi. Penulis turut rasa bangga kerana mempunyai seorang pemimpin yang berani berdepan dengan risiko dan mempunyai ilmu siasah yang tinggi dan berpengalaman.

0 ulasan: